Berita Harian (Johor) : Johor: Tebatan banjir tak berkesan
Oleh Johan Afandi
Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

PENDUDUK menunjukkan anak sungai
yang menyebabkan banjir.
KEMPAS: Penduduk yang tinggal di Jalan Permatang di sini, kecewa projek tebatan banjir Sungai Tebrau yang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu masih tidak berkesan berikutan kerja projek itu yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Mereka mendakwa kontraktor yang dilantik Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) hanya meninggikan tembok sedangkan syarikat itu sepatutnya memperbesar dan mendalamkan anak sungai itu.
Penduduk Taslim Miran, 70, berharap projek tebatan banjir terbabit dapat menyelesaikan mimpi ngeri beliau sekeluarga setiap musim hujan.
Bagaimanapun, katanya, hasil projek yang bermula enam bulan itu, mengejutkan beliau dan 33 keluarga lain, yang menetap di lot berhadapan dengan anak sungai berkenaan.
“Kami berharap kontraktor itu akan memperbesarkan anak sungai ini, dengan merobohkan tembok sedia ada dan menggunakan rizab parit yang terdapat di kiri anak sungai seluas kira-kira lima meter untuk membina tembok baru selain mendalamkannya.

PENDUDUK menunjukkan tembok yang
dibina untuk mengelakkan banjir.
"Namun, apabila siap, lain pula yang jadi. Kontraktor terbabit jelas mengambil jalan mudah iaitu dengan meninggikan lagi tembok sedia ada dengan menambah batu-bata setinggi kira-kira satu meter, " katanya yang sudah 22 tahun menetap di kawasan itu.
Taslim berkata, beliau agak kecewa dengan sikap ambil mudah kontraktor terbabit kerana ia jelas merugikan duit rakyat tetapi lama kelamaan, ia menjadi satu bahan jenaka di kalangan penduduk.
Selain daripada hanya meninggikan tembok sedia ada, Taslim berkata, kontraktor terbabit juga langsung tidak menyediakan lubang untuk laluan air mengalir daripada kawasan rumah penduduk sekali gus langsung tidak menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Hamzah Abdul Aziz, 60, berkata akibat tembok yang ditinggikan itu, penduduk kini, terpaksa menggunakan tangga bagi menyeberang selain jambatan yang ada turut menjadi tinggi hingga menyukarkan laluan kenderaan keluar dan masuk.
"Sungguh menghairankan, projek yang sepatutnya memberikan kebaikan dan manfaat kepada penduduk bertukar menjadi perkara yang menyusahkan kepada kami kerana banjir kilat tidak akan selesai dengan membina tembok dengan cara begitu," katanya.
Beliau berkata, pengurusan Irda perlu segera mengambil tindakan dengan mengarahkan kontraktor terbabit supaya memperbetulkan semula spesifikasi pembinaan itu, dengan memperbesarkan kembali tembok.
"Tak perlu robohkan tembok yang sudah ditinggikan, hanya bahagian tembok tidak ditinggikan iaitu pada bahagian dalam anak sungai, dirobohkan. Takkan itupun, nak orang kampung tunjukkan," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Kempas, Abdul Rashid Kasmann mahu Irda mendapatkan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum melaksanakan sebarang projek pembangunan.
"Kita mahu mengelakkan pembaziran duit kerajaan, kerana projek seperti ini, jelas tidak memberikan manfaat kepada rakyat sedangkan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', perlu menjadi pegangan semua jabatan dan agensi kerajaan," katanya.
Kali Terakhir dikemaskini (TUESDAY, 02 FEBRUARY 2010 07:07)






